Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia PDF Cetak Emel
Ditulis oleh Muslimat PAS Kelantan   
FRIDAY, 18 JULY 2014 06:00

Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

MH17 : Peringatan Demi Peringatan

Dewan Muslimat PAS Malaysia melahirkan rasa simpati dan berdoa agar Allah s.w.t memberikan kekuatan dan kesabaran yang tinggi kepada waris 45 orang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa tragedi MH17. Semoga Allah rahmati pemergian saudara muslim yang kembali kepadaNya pada bulan yang mulia ini.

'Prinsip penguasaan dan dominasi' adalah punca kepada peperangan dan kerosakan di dunia ini.

Yang pastinya aspek ketenteraan menjadi alat kepada matlamat ini.

Itu antara punca berlakunya tragedi yang menimpa pesawat MAS MH 17. Maka timbul teori ia didakwa ditembak jatuh dan pastinya daripada alat ketenteraan. Pesawat Malaysia terperangkap dalam konflik Rusia - Ukraine.

Walau apa pun, itu berlaku dengan izin Allah s.w.t. Sebagai negara kecil, kita hanya mampu menyeru agar kejadian ini diberi perhatian dan siasatan terperinci dibuat dan keadilan buat mangsa dan waris dapat ditegakkan.

 

Tragedi ini adalah antara siri-siri TEGURAN Allah s.w.t kepada manusia dan khalifah di muka bumi ini yang mentadbir bumi bukan dengan cara fitrah; menurut perintah Allah s.w.t. Allah s.w.t menyebutkannya di dalam Surah Ar-Ruum ayat 41,

 

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."

Akhirnya kekuasaan mutlak dan ketaatan sebenar adalah hanya kembali kepada Yang Maha Berkuasa di langit dan bumi iaitu Allah azza wajalla.

Kembali kepada dunia realiti kehidupan setiap daripada kita, lenyapkan rasa dan keinginan untuk menguasai orang lain supaya hilang nafsu ingin menindas orang lain.

Renungi adakah sikap ini juga ada dalam diri kita? Kecenderungan menguasai dan menindas suami atau isteri, anak-anak, ibu ayah, sesama jiran, majikan dan pekerja, kawan-kawan, majikan dan pembantu rumah dan dimana-mana level kehidupan insan.

Muslimat PAS dengan rendah hati mengajak semua merenung dan melihat tragedi ini dengan mata hati yang halus dan sama-sama kita bertaubat untuk kembali kepada Allah s.w.t Yang Maha Pengampun dan Maha Mengasihi.

Mastura Mohd.
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Malaysia

LAST_UPDATED2