PDF Cetak Emel
Ditulis oleh Dewan Muslimat PAS Pusat   
WEDNESDAY, 17 SEPTEMBER 2014 00:00

Ucaptama Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Kali ke 54

Saya ucapkan ahlan wa sahlan wa marhaban bi kum, selamat datang dan selamat bermuktamar, kepada semua pimpinan, para perwakilan dan tetamu yang memeriahkan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk kali ke 54 yang julung kalinya diadakan di Negeri Johor Darul Takzim.

Bersempena roh bulan Zulhijjah sama-samalah kita mengambil pengajaran daripada ibadah haji iaitu berkumpulnya orang-orang mukmin yang pancainderanya berfokus membesarkan dan mengagungkan Allah S.W.T. Mudah-mudahan muktamar kita mendapat keberkatan daripada Allah SW.T.

 

 

Sidang muktamar yang di rahmati Allah S.W.T sekalian,

Luka umat Islam di Syria, Mesir, Iraq, Rohingya dan lain-lain belum pun sembuh, umat Islam diasak lagi dengan serangan brutal Zionis dalam Ramadhan baru-baru ini kepada penduduk Ghazzah tanpa memilih mangsa. Ribuan golongan yang lemah dijadikan sasaran seperti kanak-kanak, wanita dan warga tua. Kemudahan dan premis-premis awam juga dibom tanpa belas kasihan. Mengingati kata-kata daripada tulisan Ismail Haniyyeh Perdana Menteri Palestin di dalam tweeternya selepas peristiwa serangan bom Israel ke atas penduduk Ghazzah.

 

"Kami tidak kembali berhajat agar mereka (Mesir) membuka pintu sempadan Rafah untuk kami, sedangkan Allah telah membukakan mi'raj ke langit untuk kami menuju syurga-Nya dan nikmat-Nya (syahid). Berjiran dengan Allah terlebih baik daripada berjiran dengan orang yang zalim"

 

Marilah muslimat sama-sama kita jadikan pintu perjuangan ini sebagai pintu mendapat redha Allah S.W.T. Selain bantuan kewangan dan doa yang dihulurkan kepada saudara kita di Gaza dan Palestin, refleksinya kepada umat Islam seluruh dunia ialah lakukan jihad di negeri-negeri kamu sendiri. Namun bagi kita di sini, di Negara Malaysia yang tercinta ini jihad kita adalah jihad menyedarkan masyarakat untuk kembali kepada Allah S.W.T. Walaupun tidak seberat dengan tugas saudara kita di Palestin tetapi ianya adalah satu tugasan yang amat besar.

 

Malaysia sendiri ditimpa musibah demi musibah seperti kehilangan MH370 tanpa dapat dikesan sehingga hari ini dan tragedi MH17 yang sangat menyentuh hati. Dalam menghadapi situasi ini, kita sebagai penggerak Harakatul Islamiyyah tetap konsisten untuk menjadi sebahagian anggota badan dari ummah yang mana apabila satu-satu bahagian terasa sakit, maka seluruh tubuh akan berjaga malam tidak lena tidur. Dengan itu, segala usaha dan kudrat yang ada, kita persembahkan buat saudara-saudara Islam kita tidak kira di mana mereka berada sama ada melalui tekanan politik, boikot ekonomi kuffar harbi, derma dan sedekah berterusan, bantuan kemanusiaan dari aspek sukarelawan dan kesihatan serta senjata doa dan qunut nazilah.

 

Antara jihad yang saya kira perlu konsisten ialah menggerakkan kempen solat berjemaah di surau dan masjid seperti yang diakui oleh pemimpin Yahudi terdahulu, bahawa mereka akan gerun dengan umat Islam apabila situasi solat subuh berjemaah sama seperti solat Jumaat. Sama-samalah kita melaksanakan kempen ini di dalam diri kita, suami, anak-anak dan ahli keluarga, jiran-jiran terdekat kita dan ahli PAS khususnya. Kempen sebegini boleh juga dilaksanakan dalam perancangan aktiviti-aktiviti PAS di semua peringkat seluruh Negara. Jadi, seharusnya kita mengimarahkan institusi masjid dan dengan pelbagaikan aktiviti-aktiviti seperti majlis-majlis ilmu untuk muslimat dan program-program keremajaan seperti Smart Solat dan sebagainya.

LAST_UPDATED2